Surah dan ayat Madaniyyah hanya difahami anggota jemaah Islam

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Surah dan ayat Madaniyyah merupakan surah-surah dan ayat-ayat yang diturunkan selepas Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah mengikut pandangan yang paling rajih mengikut ulama tafsir. Hal ini melihat kepada tujuan penurunan ayat dan surah Madaniyyah ialah untuk membentuk keperibadian sesuatu mujtama’ Muslim.

Perkara yang terkandung dalam surah dan ayat Madaniyyah merangkumi arahan, pujian, saranan bahkan teguran kepada orang beriman tentang pengorbanan, kepatuhan, ketakwaan dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Selain itu, perkhabaran tentang golongan munafiq dan ancaman mereka terhadap orang mukmin serta cara mereka ingin memecahbelahkan hubungab sesama orang beriman.

Paling ketara yang terkandung dalam surah tersebut merupakan seruan Allah SWT yang menyeru orang beriman dengan wahai orang-orang beriman. Oleh itu, sesiapa yang tidak bersama dalam jemaah, mustahil bagi mereka untuk memahami dan menghayati surah-surah Madaniyyah.

Bagaimana merasa nikmat ketaatan, pengorbanan, kesusahan bahkan bagaimana mengetahui dirinya Munafiq atau mukmin!? Atau bagaimana dia dapat merasakan apabila diseru dengan wahai orang-orang beriman, dia termasuk dalam kalangan mereka?

Sangat besar nilai-nilai dan hakikat Islam yang terdapat dalam berjemaah bagaikan menuju kesempurnaan seseorang Muslim. Saudara, apakah alasan kita untuk tidak bersama jemaah yang beramal untuk Islam selain daripada kerugian tidak dapat menghayati ayat-ayat Madaniyah dan merasai kemanisan al-Quran.

Wallahuallam.

Oleh Ustaz Muhammad Ikram Abu Hassan
Pengerusi PEMBINA Pulau Pinang