Sekat penyelewengan agama untuk kesucian akidah Islam

photo30486434237491542

KEPALA BATAS, 16 Feb- Umat Islam kini berdepan dengan penyelewengan agama dalam dua bentuk iaitu fahaman yang membuang ketuanan syarak serta fahaman yang memakai pakaian agama dan perkara ini sewajarnya disekat demi menjaga kesucian akidah Islam.

Anggota Jawatankuasa Pusat, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Mohd Hazizi Ab Rahman, berkata demikian semasa menjadi panelis Ceramah umum yang mengupas tajuk Penyelewengan Fahaman terhadap Agama di Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah.

Menurutnya, fahaman liberalisme, sekularisme serta pluralisme merupakan contoh yang paling jelas bagi fahaman yang membuang ketuanan syarak dan berpotensi untuk mengikis kemurnian akidah umat Islam.

“Ibu bapa perlu memantau anak-anak supaya tidak terpengaruh dengan fahaman yang sesat ini kerana fahaman ini mampu meresap masuk melalui media yang dikuasai oleh puak kapitalis,” katanya.

Beliau juga memberi garis panduan supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh terhadap penyelewengan fahaman agama tersebut iaitu dengan kembali kepada al-Quran dan sunnah, tidak taksub kepada mana-mana individu kerana tiada yang maksum selain Rasulullah SAW dan tidak terpengaruh pihak yang bertelingkah tentang perkara-perkara khilaf.

Ceramah yang dihadiri oleh lebih daripada 100 orang itu merupakan anjuran bersama Biro Dakwah, PEMUDA ISMA SPU serta AJK Masjid At-Taqwa turut dirakam oleh krew Mutiara FM.

Oleh Ahmad Muslihuddin Nik Seman
Wartawan Biro Penerangan ISMA Seberang Perai Utara