Masa, penentu kejayaan seorang muslim

img_9891

Ramai manusia hari ini menganggap mereka memahami dan menggunakan masa dengan sebaiknya. Tahukah anda, bagaimana Islam mengajar kita memanfaatkan masa dengan sebaiknya? Firman Allah SWT:

Demi masa!

“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. (Surah al-‘Asr,103: 1 – 3)

Allah SWT menyatakan pada ayat yang kedua, bahawa semua manusia yang berada di atas muka bumi ini dalam kerugian sama ada muda atau tua, kaya atau miskin, sihat atau sakit, lapang atau sibuk, dan hidup atau mati. Jadi, bagaimanakah kita boleh memastikan bahawa kita terlepas dari kerugian ini?

Kecuali

  1. Mereka yang beriman dengan Allah SWT dengan sebenar-benar iman
  2. Mereka yang melakukan amal-amal soleh (mendekatkan diri kepada Allah SWT)
  3. Mereka yang sering melakukan ‘amar makruf nahi mungkar’
  4. Mereka yang sering bersabar dengan penuh kesabaran dalam meniti kehidupan sebagai seorang muslim

Empat perkara tersebut akan menentukan kita sama ada berjaya atau rugi, menang atau gagal, nikmat atau sengsara dan syurga atau neraka.

Kebiasaannya

Manusia yang sering lalai dengan masanya adalah manusia yang paling banyak masa lapangnya dan paling sihat tubuh badannya. Benarlah sebagaimana dinyatakan dalam hadis: Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Dua kenikmatan, kebanyakan manusia tertipu pada keduanya, iaitu nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang”(HR Imam Bukhari). Hadis ini menggambarkan sikap manusia yang sukar menggunakan peluang yang diperolehi dengan baik sebagai contohnya apabila sihat dan mempunyai masa lapang, manusia sering merancang untuk melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti menonton wayang, karaoke, lepak di kedai makan, dan sebagainya sedangkan ketika sakit dan sibuk, mereka pasti menyesali akan kelalaiannya.

Orang yang Berjaya

Oleh sebab itu, manusia perlu bijak merancang dan meletakkan keutamaan dalam kehidupan mereka kerana masa yang diberikan tidak akan berputar ke belakang semula dan merupakan perkara yang mustahil untuk berlaku. Perkara-perkara yang tidak memberikan manfaat terhadap iman dan amal soleh perlu ditinggalkan. Sebahagian masa juga perlu digunakan untuk menyampaikan perkara-perkara yang benar serta dilarang melakukan sebarang bentuk kemungkaran sama ada kecil atau besar. Akhir sekali, sentiasa bersabar untuk menjadi manusia yang paling bertakwa di sisi Allah SWT kerana manusia yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah SWT adalah manusia yang paling tinggi takwanya.

Mutiara kata daripada As-Syahid Hassan Al-Banna, “Masa adalah sebuah kehidupan. Dan kehidupan itu adalah masa yang dia habiskan bermula pada saat kelahiran sehingga ke saat kematiannya”.

Begitu juga dengan hadis “Daripada Amru bin Maimun RA pada suatu hari Rasulullah SAW telah menyampaikan sabdanya yang bermaksud: “Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu masa mudamu sebelum datangnya hari tua, masa sihatmu sebelum datangnya masa sakit, masa kayamu sebelum datangnya masa miskin, masa lapangmu sebelum datangnya masa sibuk, masa hidup sebelum datangnya malaikat mencabut nyawa”.

1654978_739881159363180_625353834_o

Oleh Muhamad Zulazmi Saidin
Ketua Biro Penerangan
ISMA Seberang Perai Utara