Kerjasama erat KRIM-ILP jayakan program OSC

KEPALA BATAS, 23 Feb –Kerjasama erat yang terjalin antara Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas dengan Kelab Remaja Ikatan Muslimin (KRIM) telah menjayakan program One Step Closer (OSC) 2016 yang lalu.

Menurut Sofiuddin Mohamad Isa, Timbalan Pengarah ILP Kepala Batas dalam ucap perasmiannya berkata, ILP Kepala Batas dalam merangka kerjasama dengan NGO, terutamanya NGO yang menitikberatkan pembangunan belia seperti Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan lain-lain.

“Saya menyeru supaya peserta mengambil peluang untuk menimba ilmu daripada mentor- mentor OSC yang terdiri daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Program OSC 2016 yang bertempat di ILP Kepala Batas merupakan program kesinambungan dari program Kem Lepasan Sekolah (KLS) yang berlangsung Januari lalu. OSC bertujuan memberi panduan yang lebih jelas kepada peserta untuk membuat pilihan tentang hala tuju selepas SPM. Program ini juga adalah turut bertujuan untuk memantapkan dan memperkemaskan jati diri para peserta dengan memahami tarbiah diri di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurut Pengarah Program, Zulfadli Jamil berkata OSC telah memberi pendedahan dan bimbingan kepada remaja untuk mendapatkan laluan pendidikan serta kerjaya yang lebih tepat mengikut kecenderungan kerjaya masing-masing.

“Remaja secara psikologinya adalah di dalam fasa masih mencari identiti dan hala tuju yang akan memacu masa depannya. Dalam mengharungi fasa ini, cita rasa dan kehendak seorang remaja itu akan sentiasa berubah mengikut suasana dan persekitaran yang mendominasi fikiran mereka dalam membuat keputusan”

“Sebenarnya amat sukar untuk para lepasan sekolah membuat keputusan yang besar di dalam hidup mereka bila mereka tidak didedahkan dengan maklumat dan gambaran sebenar realiti alam kampus dan pemilihan pekerjaan yang sesuai dengan minat mereka,” katanya.

Sementara itu, bagi Khairul Azlie Alias, berkata penganjuran OSC itu memberi peluang kepadanya untuk mendapat info tentang persediaan sebagai pelajar lepasan sekolah.

“Program ini memberi pendedahan sebelum menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan saya cukup teruja untuk menyertai lebih banyak program yang akan dianjurkan oleh pihak KRIM Pulau Pinang,” katanya.

Program OSC berlangsung selama dua hari satu malam disertai hampir 100 peserta yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM serta pelajar ILP. OSC merupakan program tahunan yang turut mendapat kerjasama daripada PEMBINA Pulau Pinang, I-Guru serta ISMA Seberang Perai Utara.

Oleh Ahmad Muslihuddin Nik Seman
Wartawan Biro Penerangan
ISMA Seberang Perai Utara