Keprihatinan NGO dihargai – YDP ISMA Seberang Perai Utara 

PULAU PINANG, 27 Feb – Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU), Ustaz Mohd Yusoff Abd Mutalib melahirkan penghargaan kepada badan bukan kerajaan (NGO) Islam di atas keprihatinan dan penglibatan dalam membantah Persidangan International Scottish Masonic 2016 di sebuah hotel di Batu Feringgi baru-baru ini.

Persidangan yang sepatutnya diadakan dari 24 hingga 26 Feb telah diberhentikan serta-merta selepas mendapat bantahan kira-kira anggota daripada pelbagai NGO Islam.

“Tindakan untuk melangsungkan persidangan tersebut adalah tidak wajar dan tidak menghormati Malaysia sebagai  negara Islam, malah tindakan kerajaan negeri memberi kebenaran mengadakan persidangan tersebut adalah tidak menghormati perlembagaan persekutuan yang memperuntukkan bahawa  Islam sebagai agama persekutuan serta sensitiviti umat Islam di Pulau Pinang dan negara Malaysia ini,”

“ISMA menggesa supaya persidangan tersebut tidak memilih Malaysia sebagai tempat bersidang terhadap rancangan-rancangan jahat freemason ini dan berharap pihak berwajib untuk menjaga institusi Islam di Pulau Pinang ini seperti EXCO Agama  dan Majlis Agama Pulau Pinang supaya peka, sensitif, serta bertanggungjawab terhadap isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam di negeri dan negara ini, serta perancangan jahat kumpulan freemason ini,” katanya.

18 Februari lalu, sembilan NGO telah membuat laporan bagi membantah persidangan yang didakwa mempunyai agenda Yahudi dan teori konspirasi yang telah mengundang keresahan dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

Lanjutan daripada bantahan awal tersebut, persidangan diberhentikan serta-merta selepas mendapat bantahan kira-kira 50 anggota daripada NGI Islam khamis lalu.

Oleh Muhamad Zulazmi Saidin
Ketua Biro Penerangan 
ISMA Seberang Perai Utara