Taubat penghapus dosa

photo3238070789974062

BANDAR BARU PERDA, 20 Jan – “Allah sentiasa membuka pintu taubat seluas-luasnya terhadap hamba yang mengakui kesilapan dan berusaha memperbaiki kesilapan tersebut yang bukan hanya tertakluk kepada dosa besar sahaja tetapi dosa kecil, dosa syubhah dan makruh,”

“Bertaubat bukan hanya untuk orang yang sudah terlanjur melakukan dosa bahkan kepada orang yang hatinya hampir dengan Allah SWT kerana sentiasa merasa bersalah meskipun tidak melakukan kesalahan.” kata Ustazah Normah Mohamed ketika menyampaikan Usrah Wanita bertajuk tafsir wanita dalam al-Quran.

Ustazah Normah juga menambah bahawa ramai yang beranggapan suruhan taubat ini hanya kepada mereka yang bermaksiat kepada Allah sahaja tetapi sebenarnya tidak begitu.

“Apabila Allah mencampakkan ke dalam hati manusia untuk bertaubat, maka rebutlah nikmat itu untuk segera meraih keampunan dan keredaan dariNya. Manusia akan merasakan manisnya beribadah kepada Allah sehingga memperbanyak amal soleh dan mendirikan solat pada awal waktu. Sebesar mana sekalipun dosa dilakukan seseorang manusia, Allah SWT sentiasa memberi ruang untuk mereka bertaubat dan kembali ke pangkal jalan,”

“Seorang tabi’in yang bernama Malik b Dinar suka bermaksiat kepada Allah. Dengan izin Allah SWT, beliau berpeluang mempunyai isteri dan anak. Kehadiran anak itu menghalangnya berbuat maksiat dan membantunya melakukan kebaikan. Akhirnya, Malik b Dinar kembali bertaubat kepada Allah atas dosa yang telah dilakukan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa dalam Surah al-Hadid ayat 16 membincangkan agar manusia segera menundukkan hati mengingati Allah dan mentaati kebenaran yang telah disyariatkan dan menjauhi kelalaian yang mengakibatkan hati menjadi keras.

Di akhir perkongsian, Ustazah Normah mengingatkan untuk menyegerakan taubat kerana bertaubat dengan penuh penyesalan adalah perbuatan yang sangat disenangi Allah.

Oleh Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita
ISMA Seberang Perai Utara