Takat didih vs Takat lebur

Dengan tugas-tugas yang dipikul, kerja-kerja dunia yang telah dipertanggungjawabkan dan kerja-kerja dakwah yang telah diamanahkan sering menyebabkan kita tertekan dan putus asa mungkin disebabkan kerana terlalu obses dengan hasil dakwah kita. Sehingga menjejaskan kerja-kerja hakiki yang perlu kita laksanakan, sehingga satu tahap kita lupa Allah ada bersama kita.

“Setiap tekanan yang membawa aku kepada tahap marah, sedih, menangis, penat, ingin putus asa… Pasti satu sirah datang dibenak fikiran lalu memujukku, membawaku kembali kepada Allah dan Rasul… Aku bersujud dan syukur… Redha dengan apa yang telah berlaku dan kembali kuat untuk meneruskan perjuangan yang sementara ini, namun hakikat nilai dan ganjaran yang diperoleh itu besar lagi hakiki, iaitu… Insya-Allah, Syurga Allah SWT. Aku bersyukur kerana pernah melalui sirah itu sama ada dalam bentuk pembacaanku sendiri atau ceramah-ceramah yang dihadiri, juga pernah melaluinya semasa daurah sirah (lebih menyentuh huraiannya, Allah, sungguh hebat perjuangan Baginda) yang berjalan setiap bulan.”

Dalam perjalanan hijrah Rasulullah bersama Abu Bakar, mereka berhenti bersembunyi di dalam gua, yang bernama Gua Thur. Pada saat itu pemuda-pemuda Quraisy sedang giat melakukan pencarian di mana Rasulullah, pembesar Quraisy menawarkan ganjaran yang besar kepada siapa yang dapat menemui Rasulullah dan membunuh Baginda. Semasa bersembunyi di dalam gua, terdengar esakan yang sedang menahan tangisan. Rupa-rupanya, Abu Bakar sedang menangis kerana takut mendengar berita tentang ancaman bunuh terhadap Rasulullah, namun… Apa kata Rasulullah kepada As-Siddiq itu setelah menyedari tangisannya? Subhanallah… Kata-kata yang sangat memberi ketenangan dan satu tahap ‘lega’ kepada Abu Bakar As-Siddiq. Malah kata-kata tersebut bukanlah semata-mata dari Rasulullah, kekasih Allah. Tetapi, kata-kata itu daripada Allah SWT. Allah sendiri yang menenangkan Abu Bakar As-Siddiq pada saat itu. Pujukan Allah itu tersemat di dalam surat cintaNya, surah At-Taubah, ayat ke 40;

9_40

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

photo219805405779437858Gambar menunjukkan Jabal Tsur, Gua Tsur berada di salah satu puncak Jabal Tsur.

Bagaimana ujian ke atas kita? Di takat mana kita wahai daie? Mengapa mudah untuk kita berputus asa? Mudah terkesan dengan ujian Allah, sedangkan ujian-ujian tersebut tidak lain hanya untuk menjadikan kita seorang yang kuat. Jadilah seorang daie yang memiliki sifat di takat lebur, yang tidak terlalu dipengaruhi tekanan. Malah boleh disesuaikan mengikut keadaan sekalipun ia perlu berubah. Berbeza pula dengan sifat takat didih yang amat mudah dipengaruhi tekanan, juga apabila mengalami perubahan, ia tidak mampu untuk kembali kepada bentuk asal. Oleh itu para daie, ayuh muhasabah kembali sama ada diri kita berada pada takat didih atau takat lebur.

Wahai daie penggerak Islam pemangkin kesedaran ummah, sedarkah kalian ujian yang pernah dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat serta tabi’ tabi’in terdahulu lagi besar daripada ujian kita pada hari ini? Tangisan kita pada hari ini hanya kerana tertekan dengan urusan-urusan dan tugas-tugas yang tidak dapat dilaksanakan dengan baik atas kecuaian dan kelemahan diri sendiri. Namun, Rasulullah dan para sahabat serta mereka yang mati-matian perjuangkan Islam, menangis kerana sesuatu yang lebih besar, menangis kerana cinta akan agama dan Rasul mereka, menangis kerana Tuhan mereka, kerana khuatir Islam tidak sampai kepada kita pada hari ini.

Oleh itu, beruntunglah orang-orang yang beriman yang berhasrat untuk memperkukuh serta menyempurnakan akidahnya dengan menjadikan sebarang ujian akan memperteguh semangatnya untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Renungi dan lihatlah semula sirah-sirah perjuangan mereka. Andai besar ujian yang kita lalui pada hari ini dan niat kita itu hanya kerana Allah, Insya-Allah. Tuhan akan memberikan ganjaran yang setimpal dengan ujian itu, malah lebih besar lagi. Namun, andai ujian kita hanya kerana kecuaian dan kesalahan kita, malah niat kita meleset jauh dari Tuhan. Maka, perbaharuilah niat itu, kembali kepada Allah. Mohon keampunan dariNya, pertingkatkan amal dan dekatkan diri kepadaNya. Selak kembali perjuangan Baginda dan para sahabat. Hayati perjuangan pejuang Allah. Insya-Allah, engkau tidak keseorangan kerana manusia berkongsi bumi Allah yang sama.

“Andai lillah, masakan lelah.”
Ikhwah akhwat, para penggerak agama Allah.
La Tahzan. Innallaha ma’ana.
Jangan sedih, Allah bersama kita. Insya-Allah.

Oleh Nurul Suhaida Ibrahim
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara  (SPU).