Syahida Farhan terima anugerah dua tahun berturut-turut di Majlis Persada Kencana

photo3238070789974044

PULAU PINANG, 3 Jan – Calon Doktor Falsafah (Ph.D) Universiti Sains Malaysia (USM), Syahida Farhan Azha telah menerima anugerah dua tahun berturut-turut di Majlis Persada Kencana (MPK) iaitu Best Postgraduate Research Project 2014 dan Best Postgraduate Thesis Award (Master Thesis) 2015 untuk kategori Kejuruteraan dan Teknologi yang dianjurkan oleh Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM baru-baru ini.

Menurut Syahida Farhan, penyelidikannya yang bertajuk ‘Development of Thin Absorbent Coating for Dyes Removal’ di bawah penyeliaan Dr. Suzylawati Ismail itu bertujuan untuk menghasilkan cat yang boleh menyingkirkan atau membersihkan air berwarna yang memberi tumpuan kepada pencemaran air dari kilang tekstil atau batik.

“Selalunya untuk menyingkirkan warna dari air buangan kilang, mereka akan menggunakan karbon aktif yang mana untuk menghasilkan ia sangat mahal, jadi kita mencari alternatif lain dengan mengadaptasi proses penjerapan dan menukar metod prosesnya kepada bentuk cat yang lebih efektif, murah dan senang untuk dikendalikan,” katanya yang juga Setiausaha Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pulau Pinang.

Selain itu, antara pesanan yang turut dikongsi oleh Syahida Farhan untuk mencapai sesuatu kecemerlangan adalah bersungguh-sungguh semasa menuntut ilmu, redha dengan ujian yang diberikan dan pergantungan yang tinggi kepada Allah.

“Perjalanan untuk menuntut ilmu bukan perkara mudah kerana ia penuh dengan ujian dan cabaran. Dan disebabkan itu juga kita sering diingatkan bahawa perjalanan menuntut ilmu merupakan jihad jika benar cara dan tujuannya,” katanya.

Kejayaan lain yang juga pernah diraih oleh Syahida Farhan ialah Gold Medal Award ketika International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2014 di KLCC, Gold Medallist in innovation exhibition by World Exhibition Inventions, Research and New Technologies (INNOVA) 2014 di Brussels Belgium, Gold Medal dari Korean International Women Invention Exposition (KIWIE) 2015.

Anugerah di MPK 2015 ini telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapha Kamal, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan serta pegawai-pegawai utama universiti.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pulau Pinang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Syahida Farhan Azha. Semoga kejayaan beliau akan menjadi teladan untuk seluruh mahasiswa dan mahasiswi Melayu.

Oleh Azidatul Anis Aziz
Wartawan Biro Penerangan
ISMA Seberang Perai Utara