Sensitif dengan kemungkaran

Hari ini kita menyaksikan sebahagian besar belia Islam hidup dalam keadaan yang meletakkan keseronokan dan hiburan sebagai tunjang kehidupan, dengan kata lain hedonisme. Fahaman hedonisme menyebabkan kebanyakan belia Islam mementingkan keseronokan sehingga hilang pedoman dalam menentukan hala tuju hidup mereka. Keadaan ini menyebabkan kehidupan mereka yang semakin jauh dan menyeleweng dari jalan kehidupan yang telah ditetapkan oleh Allah. Kata Muhammad Ahmad Ar-Rasyid di dalam bukunya, belia masa kini karam dalam lautan kemaksiatan dan darjat keimanan mereka menjunam ke taraf yang paling rendah. Akhirnya, kemungkaran yang berlaku dalam kalangan masyarakat kini menjadi perkara biasa pada kaca mata belia.

Artikel ini berhasrat untut menyedarkan belia Islam agar menjadi seorang yang peka dan sensitif dengan kemungkaran yang berlaku. Artikel ini akan mengupas keadaan masyarakat masa kini, faktor-faktor yang menyebabkan masyarakat tidak sensitif dengan kemungkaran, juga akan dikupas cara-cara bagaimana untuk beramar ma’ruf nahi mungkar berdasarkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadith.

Istilah mungkar membawa maksud ingkar atau menderhaka kepada Tuhan (melanggar perintah Tuhan) manakala takrifan kepada sensitif pula bermaksud lekas bergerak balas memberikan reaksi terhadap sesuatu rangsangan dan peka dengan perubahan-perubahan kecil mahupun besar. Jika dilihat dari takrifan kedua-dua perkataan ini, dapat kita katakan mereka yang sensitif dengan kemungkaran ini adalah orang yang lekas bergerak balas atau memberi reaksi terhadap sesuatu penderhakaan dan keingkaran kepada Allah yang berlaku di disekelilingnya.

Dalam konteks masyarakat, mereka yang memiliki sifat sensitif dengan kemungkaran ini akan menghidupkan amar ma’ruf nahi mungkar dalam diri mereka dan mempraktikkan dalam kalangan masyarakat. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW.;

Dari Abu Sa’id Al Khudry r.a berkata, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah (mengingkari) dengan tangannya, jika tidak mampu hendaklah ia mengubah (mengingkari) dengan lisannya, jika tidak mampu hendaklah ia merubah dengan hatinya, dan itulah keimanan yang paling lemah.”      (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini adalah hadis yang sangat penting dalam syari’at Islam, bahkan sebahagian ulama mengatakan hadis ini adalah separuh dari agama (syari’at). Hal ini demikian kerana amalan-amalan syari’at terbahagi kepada dua iaitu ma’ruf (kebaikan) yang wajib diperintahkan dan dilaksanakan, atau mungkar (kemungkaran) yang wajib diingkari.

Amar ma’ruf nahi mungkar adalah antara tanggungjawab yang paling asas bagi sebuah negara Islam. Perkara inilah yang membezakan sebuah negara Islam dengan negara bukan Islam, juga sebuah negara yang terbina atas syarak dengan negara yang terbina atas hawa nafsu.

Sensitif dengan kemungkaran ini amat berkait rapat dengan persoalan hati, jika seseorang itu mempunyai hati yang bersih dan sentiasa menjaga keikhlasannya dengan Allah, hatinya akan diberi petunjuk oleh Allah. Tambahan lagi, keimanannya kepada Allah menjadi kuat dan diberi kesedaran tentang kepentingan beramal dan mengerjakan amar ma’ruf nahi mungkar.

Seterusnya, mereka akan melaksanakan dakwah dan tuntutan-tuntutannya kerana mereka faham dan bertanggungjawab menyampaikan serta melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Ibnu Taimiyah menerangkan di dalam kitabnya, definisi dakwah (dakwah kepada Allah) ialah menyeru manusia agar beriman dengan Allah serta beriman dengan apa yang telah dibawa oleh para RasulNya, membenarkan apa yang telah diberitakan oleh mereka dan taat kepada perintah mereka. Firman Allah SWT

“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq.”         (Ali-Imran, 2: 110)

Firman Allah SWT:

“Orang yang beriman lelaki dan yang beriman perempuan setengahnya menjadi pembantu bagi yang lain, mereka menyuruh kepada makruf dan melarang daripada yang mungkar.”       (At- Taubah, 9:71)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa ciri utama orang yang beriman ialah mereka yang melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar, tujuan melaksanakan perintah Allah ini adalah dengan niat untuk menyeru masyarakat kepada Islam.

Jika dilihat realiti masyarakat, sebahagian besar kehidupan masyarakat seolah-olah tidak mempedulikan isu-isu dan permasalahan yang berlaku. Kebanyakannya lebih memilih untuk bersikap ‘tidak menjaga tepi kain orang’, sedangkan konsep ‘menjaga tepi kain’ dalam konteks Islam adalah amar ma’ruf nahi mungkar. Konsep ini pada mulanya ialah sikap atau budaya dalam kalangan masyarakat untuk menegur kesalahan yang dilakukan sama ada kesalahan dalam bentuk penderhakaan kepada Allah, atau mungkin juga kesalahan dalam bentuk pengamalan sesuatu perkara, ini juga adalah salah satu contoh amar ma’ruf nahi mungkar.

Pada masa yang sama, ideologi-ideologi Barat semakin bermaharaja, mereka mengambil tempat dalam kekosongan ilmu dan pengetahuan masyarakat. Hal ini menyebabkan masyarakat terpengaruh dengan pembawaan kuasa Barat. Agenda besar kuasa Barat adalah untuk menjatuhkan kekuasaan Islam dan menghancurkan Islam. Mereka bekerja keras dan telah membuat perancangan yang tersusun untuk merealisasikan agenda mereka sejak dari dulu lagi. Dalam melaksanakan usaha mereka itulah yang menyebabkan lahirnya pemikiran yang cenderung kepada perkara yang berunsur negatif. Pemikiran yang bercampur baur dengan pelbagai ideologi yang sesat, antaranya ialah normalisasi, liberalisme, pluralisme, sekularisme dan lainnya yang diperkenalkan kuasa Barat. Masalah yang besar dilihat sebagai perkara yang kecil dan biasa dilakukan oleh masyarakat Malaysia. Masyarakat menganggap semua pembaharuan yang dilakukan oleh barat dianggap sesuatu yang boleh diamalkan dan sesuatu yang moden, walaupun ianya bertentangan dengan ajaran islam. Ajaran Islam jelas menyuruh manusia supaya mencari manfaat melebihi dari mudarat. Firman Allah SWT

“Mereka menanyakan kepadamu Muhammad tentang kamar (minuman memabukkan) dan judi. Katakanlah, pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya.”       (Al-Baqarah, 2: 219)

Jika ayat di atas menerangkan adanya dosa besar dan manfaat, hal ini dapat dikaitkan dengan masyarakat pada zaman sekarang. Umat Islam perlu sedar bahawa segala pembawaan Barat yang berniat untuk menjatuhkan Islam dan umat Islam itu adalah tidak patut disokong dan diamalkan. Sebagai contohnya isu penggunaan Rokok Elektronik atau vape yang kian berleluasa, sedangkan fatwa telah mengeluarkan hukum pengharamannya. Namun masih ramai yang membantah, malah pemimpin-pemimpin negara juga menyokong penggunaan vape atas dasar memberi keuntungan kepada ekonomi negara.

Serangan pemikiran yang diperkenalkan kepada umat Islam menyebabkan mereka tidak dapat membezakan pembawaan Islam yang sebenar dan salah. Masyarakat kini juga ditekankan dengan hal-hal kepentingan dunia, sehingga lupa dengan tujuan sebenar mereka dijadikan. Kesedaran bahawa tugas mereka di muka bumi ini sebagai khalifah dan hamba Allah langsung tidak dilaksanakan, malah mungkin tidak pernah mengambil tentang perkara tersebut.

Umat Islam perlu jelas dengan tujuan penciptaan anak Adam dan matlamat hidup mereka. Apabila mereka jelas dengan tujuan Allah menciptakan mereka, maka sudah tentu mereka dapat membezakan antara yang haq dan batil, kuasa Barat yang sangat jelas perancangannya untuk menjatuhkan Islam. Masyarakat juga perlu jelas dan merancang strategi yang tersusun untuk mengembalikan kegemilangan Islam. Firman Allah SWT

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan teman orang-orang yang diluar kalanganmu (seagama) sebagai teman kepercayaanmu, kerana mereka tidak henti-hentinya menyusahkanmu. Mereka mengharapkan kehancuranmu. Sungguh, telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang tersembunyi dihati mereka lebih jahat..”       (Ali-Imran, 3:118)

Kesimpulannya, sensitiviti umat Islam terhadap isu-isu yang boleh merosakkan Islam apabila dilihat sebagai perkara yang kecil dan biasa. Masyarakat perlu sedar tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada setiap individu. Setiap masyarakat dari pelbagai lapisan perlu berperanan contohnya ibu bapa sepatutnya menerapkan Al-Quran dan As-Sunnah dalam mendidik anak-anak.

Oleh Nurul Suhaida Ibrahim, Siti Nor Faziati Rasid, Noorfazila Ramli
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU).