Nikmat ukhuwah sesama muslim

photo167680368415189111

YAN, 27 Jan – “Ukhuwah adalah satu nikmat pemberian daripada Allah yang dicampakkan ke dalam jiwa setiap muslim dan mengharapkan ukhuwah yang paling kuat mampu terjalin hingga ke syurga,” demikian kata-kata Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara, Ustaz Mohd Yusoff Abd Mutalib semasa ditemui di Kem Acheh Management Centre, Yan.

Beliau yang memberi ucapan aluan ketika Hari Keluarga ISMA SPU 2016 pada Sabtu minggu lepas itu, turut mengajak semua ahli ISMA untuk merapatkan hubungan dan saling mengenali supaya dapat merasai kebersamaan dalam satu jemaah Islam.

Beliau turut menasihatkan kepada semua ahli ISMA menghargai nikmat ukhuwah yang sangat besar dikurniakan oleh Allah dan melahirkan rasa bersyukur disebabkan kerana Allah telah memilih kita untuk mengenal kasih sayang antara sesama manusia.

“Semoga penganjuran program berbentuk kekeluargaan seumpama ini dapat melahirkan rasa berkasih sayang antara sesama ahli ISMA kerana Allah,” katanya.

Aktiviti utama bagi Hari Keluarga yang bertemakan “Ukhuwah Terjalin, Dakwah Terbina”  tersebut adalah seperti mandi jeram, kembara hutan, BBQ, permainan keluarga dan anak-anak, persembahan dan aktiviti sukaneka telah berjaya dilaksanakan dengan melibatkan ahli-ahli, sahabat-sahabat ISMA serta ahli keluarga yang hadir.

Turut diadakan ialah pemberian cenderamata kepada beberapa orang aktivis ISMA SPU yang baru mendirikan rumahtangga dan yang baru mendapat cahaya mata.

Oleh Azidatul Anis Aziz
Wartawan Biro Penerangan
ISMA Seberang Perai Utara