KLS Pulau Pinang beri pendedahan awal kerjaya dan kehidupan di IPT

KLS2016

KEPALA BATAS, 11 Jan – Penganjuran Karnival Lepasan Sekolah (KLS) Pulau Pinang 2016 oleh Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Pulau Pinang bertujuan memberi pendedahan awal kerjaya dan kehidupan sebelum memasuki alam pekerjaan serta pengajian di peringkat IPTA/IPTS.

“Pelajar perlu bersedia untuk menghadapi cara pembelajaran yang sangat berbeza di IPTA/IPTS berbanding ketika SPM/STPM dan tidak terlalu fokus untuk menghafal apa yang dipelajari sebaliknya perlu lebih memahami dengan memperbanyakkan bacaan serta bertanya kepada pensyarah,”

“Pelajar juga perlu bersedia dari segi mental untuk mengelakkan mereka mengalami kejutan budaya yang sering terjadi kepada mahasiswa masa kini dengan melibatkan diri dengan aktiviti persatuan seperti PEMBINA di mana mereka dapat mengasah bakat kepimpinan, kemahiran berucap disamping mendekatkan diri mereka dengan pencipta,” kata Naib Yang Dipertua ISMA Pulau Pinang, Dr Zaki Ibrahim.

Karnival yang khusus bagi pelajar-pelajar yang baru menamatkan alam persekolahan ini merupakan program anjuran bersama Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Pulau Pinang, Biro Luar Negara ISMA, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Pulau Pinang, dan disokong oleh I-Medik Pulau Pinang dan I-Guru Pulau Pinang.

Program tahunan ini memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM, dan STAM untuk membuat persediaan memasuki alam kampus seperti tips temuduga dan biasiswa, motivasi hala tuju selepas sekolah, pameran kerjaya, forum ‘Survival Kampus’ dan pelbagai lagi aktiviti yang sarat dengan info dan maklumat yang berkaitan.

KLS akan berlangsung di semua negeri di seluruh Malaysia bermula pada 9 Januari 2016 dan berakhir pada 30 Januari 2016.

Sementara itu, peserta KLS yang bercita-cita menjadi seorang jurutera, Muhammad Asyraf Surani memberitahu bahawa karnival ini membantu untuk memberikan info yang berguna sebagai persediaan diri sebelum melangkah ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan realiti sebenar alam pekerjaan sebagai jurutera.

Seorang lagi peserta KLS, Muhammad Iqhwan Shafiq Mohd Shukri turut menyatakan bahawa walaupun penganjuran karnival KLS lebih kepada lepasan SPM, tetapi membantu Iqhwan untuk memikirkan hala tuju selepas ini dan berfikiran lebih terbuka.

“KLS yang dianjurkan membantu kami dalam mempersiapkan diri untuk kehidupan di peringkat yang lebih tinggi. Tips dan fasilitator banyak membantu kami dan diharapkan program ini diteruskan pada masa akan datang,” kata Nooris Zulaikha Selamat yang juga merupakan peserta KLS.

Oleh Zulfadli Jamil
Wartawan KRIM Pulau Pinang