Jaga adab bercakap untuk panduan hidup cemerlang

photo_2015-12-30_09-35-43

BANDAR BARU PERDA, 30 Dis – Adab-adab percakapan dan perlakuan sesama manusia harus diperhati dan dilaksanakan seperti yang digariskan Allah dalam al-Quran sebagai panduan hidup yang lebih cemerlang.

“Melalui surah al-Hujurat ayat 11, panduan yang diberikan oleh Allah ini amat jelas membawa mesej tarbiah yang amat kuat dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan penyayang,” kata Ustazah Normah Mohamed dalam Usrah Wanita bertajuk tafsir wanita dalam al-Quran.

Beliau menambah, orang-orang yang beriman tidak seharusnya mempersenda-sendakan golongan lain, menceritakan keaiban dan memanggil mereka dengan gelaran yang buruk kerana tindakan mencerca atau menghina orang lain itu seolah-olah mereka mencerca diri sendiri.

“Orang-orang yang beriman itu adalah umpama satu tubuh yang diikat dengan kesatuan aqidah dan tidak seharusnya mereka memiliki akhlak yang tercela. Islam amat mengambil berat tentang hubungan sesama manusia dan menekankan akhlak yang mulia sebagai jati diri seorang mukmin,”

“Setiap orang perlu berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan dan memohon kepada Allah agar diberi kekuatan untuk memilih serta menggunakan perkataan yang baik semasa berbicara,” ujar Ustazah Normah Mohamed.

Ustazah Normah mengingatkan tentang orang-orang yang baik disisi Allah ialah orang yang bertakwa sehingga Allah memuliakan mereka supaya sentiasa mendapat peringatan daripada Allah.

Lantaran itu, Ustazah Normah menyeru kaum wanita menjadikan Al-Quran sebagai pegangan hidup yang tunggal dan unggul supaya memperoleh kebahagiaan dan ketenangan jiwa serta mentaati perintah Allah.

Oleh Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita
ISMA Seberang Perai Utara