Fasa dalam Perkahwinan

Perkahwinan. Satu topik yang menjadi klise dan menguja banyak pihak terutamanya si teruna dan dara. Ramai golongan anak muda hari ini menganggap perkahwinan merupakan satu alam yang menyeronokkan dan berupaya menghalalkan yang haram. Bahkan golongan muda hari ini masih lagi tidak sedar akan tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul dalam meniti gerbang perkahwinan yang penuh dengan onak dan duri. Ayuh luaskan ufuk pemikiran kita dan kembali menyelami apa erti perkahwinan yang sebenar.

Fasa dalam perkahwinan.

Menjengah alam gerbang perkahwinan ini, biasanya pasangan suami isteri akan mengharungi dan melalui empat fasa perkahwinan. Perkara paling dominan ialah fahami dan selami sedalam-dalamnya fasa-fasa dalam perkahwinan bagi menjana sebuah alam rumah tangga yang aman dan harmoni.

Kali ini, mari kita rungkai dahulu fasa pertama. Fasa pertama biasanya dalam tiga tahun awal perkahwinan atau boleh disebut fasa bulan madu. Bait-bait cinta mula berkembang mekar pada fasa ini memandangkan setiap pasangan masing-masing memasang impian yang cukup tinggi mahu melihat kehidupan rumah tangga disirami dengan cinta dan kasih sayang yang berpanjangan.

Ironinya, beberapa golongan pasangan yang merancang untuk tidak melahirkan zuriat pada fasa ini untuk bulan madu. Tempoh inimerupakan satu masa untuk mengenali pasangan masing-masing. Kadang-kadang masih banyak lagi perangai negatif pasangan yang terlindung sebelum ini. Pada masa ini, timbul pelbagai konflik seperti sukar memahami perangai pasangan, masalah kewangan, hubungan dengan keluarga mertua dan sebagainya.

Fasa positif.

Ya. Pada fasa inilah merupakan satu peluang yang paling terbaik dalam merangka sebuah tapak rumah tangga yang mantap. Jika ingin dianalogikan, perkahwinan ibarat satu proses dalam membina sebuah rumah. Sekiranya tapak rumah itu kukuh maka terbinalah sebuah rumah yang kukuh tanpa sebarang masalah tetapi sekiranya tapak rumah itu goyah maka sebaliknya. Begitulah perkahwinan, sesuatu yang baik wajar dimulai dengan sesuatu yang terbaik.

Peluang yang boleh dibuat dalam fasa pertama.

Membuka akaun emosi untuk kegunaan masa hadapan

Dunia yang dihiasi dengan pelbagai teknologi baru ini merupakan satu wadah yang terbaik bagi melakar sebuah alam rumah tangga yang romantik. Foto-foto dan video bersama pasangan perlulah dirakam sama ada melalui kamera mahupun telefon bimbit masing-masing. Mungkin koleksi gambar dialbumkan dan video yang dirakam mampu diterokai kembali pada masa yang akan datang dan berpeluang menghangatkan lagi kasih sayang bersama pasangan.

Melalui teknologi juga, kita mampu mencatat memori-memori terindah bersama pasangan di laman blog. Rahsiakan blog untuk suami isteri atau keluarga terdekat sahaja. Simpan segala memori bersama pasangan tercinta kerana kenangan itu yang menciptakan kebahagian.

Jika suatu masa nanti pasangan kita mula berubah, bolehlah kita membuka semula buku akaun emosi lalu ditatap bersama pasangan kita. Perasaan cinta dan kasih sayang mungkin akan kembali subur dalam jiwa pasangan kita.

Tetapkan “SPECIAL DATE”

Apabila disebut special date, apa yang anda fikirkan?

Hari anniversary?

Hari lahir pasangan?

Special date bukan hari itu sahaja. Rancang dengan pasangan untuk pilih satu tarikh atau ‘special date’ untuk diluangkan bersama pasangan. Pada tarikh itu,pasangan wajib cuti daripada kerja untuk meraikan tarikh itu. Ambil peluang untuk memberi hadiah istimewa kepada pasangan menandakan perasaan cinta dan sayang kita kepadanya.

Alasan tidak punya waktu atau ruang perlu dijauhi untuk meluangkan masa bersama pasangan bahkan apabila mempunyai anak sekalipun, carilah waktu yang sesuai untuk keluar bersama pasangan berdua sahaja.

Matlamat sebuah perkahwinan menuju syurga

Seperti yang disebut pada awal penulisan tadi, seseorang itu perlu tahu dan faham. Matlamat sebuah perkahwinan perlu dilakar pada awal usia perkahwinan lagi. Coretan atau lakaran matlamat yang jelas mampu mengukuhkan lagi institut gerbang perkahwinan. Bincang bersama pasangan kemana arah tuju sebenar rumah tangga.

Syurga itu terlalu mahal, tidak mampu dicapai dengan kemungkaran daripada Allah. Sekiranya mahu ke syurga, ayuh membina layar perkahwinan yang diberkati dan diredhai oleh Allah. Contohnya, isteri sentiasa mengingatkan suami ke masjid agar sentiasa menjadi rutin harian suami. Suami pula perlu menegur isteri supaya sentiasa menutup aurat dan mentaati perintah suami. Itulah erti perkahwinan. Saling melengkapi antara satu sama lain.

Allah SWT menjanjikan orang-orang yang beriman akan tinggal bersama dengan ahli keluarganya di syurga. Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang yang beriman, beserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga), dan Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

(At- Tur, 52: 21)
Merancang keluarga

Setiap pasangan perlu merancang dalam pembinaan ahli keluarga. Misalnya merancang bilangan anak, cara mendidik anak-anak dan sebagainya. Perancangan yang teliti ditambah pula dengan sifat tolak ansur dan kasih sayang mampu menjadikan adunan yang lengkap dalam membentuk sebuah keluarga yang diredhai dan diberkati oleh Allah dunia dan akhirat.

Dalam firman Allah:

“Dan sungguh, Kami telah mengutus beberapa rasul sebelum engkau (Muhammad) dan kami berikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan. Tidak ada hak bagi seorang rasul mendatangkan sesuatu bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Untuk setiap masa ada Kitab (tertentu).

(Ar-Ra’d, 13: 38)
Akhir kata, perkahwinan dan rumah tangga merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul dalam menjunjung amanah kepada Allah. Jangan sesekali kita cuba meremehkan isu perkahwinan sebaliknya sama-sama persiapkan diri dalam menjana kehidupan rumah tangga yang penuh barakah.

Disediakan oleh,
Musytaqul Jannah
Ahli ISMA Seberang Perai Utara (SPU)