Adakah kita Seperti Abdurrahman Bin Auf?

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ramai hari ini dalam gerakan dakwah ingin menjadi seperti Abdurrahman Bin Auf R.A. Sedar tak sedar, tak kenal mana pun siapa Abdurrahman bin Auf. Yang kita tahu cerita dia seorang yang kaya dan Infaq duit.

Sejarah Abdurrahman bin Auf sebagai salah seorang tentera dalam peperangan, seorang Panglima tentera yang Rasulullah hantar untuk berdakwah kepada kaum Jumah bin Jundul, Imam solat subuh tatkala perang Tabuk yang Rasulullah sendiri berimamkan beliau, salah seorang ahli syura yang dilantik oleh Saidina Umar untuk melantik khalifah, antara yang terawal masuk Islam, menggabungkan dua hijrah ke Habsyah dan ke Madinah, Ahli Badar, Ahli Uhud dan lain-lain sumbangan beliau yang mesti diteliti jika benar kita ingin menjadi seperti beliau.

Seolah-olahnya ada satu golongan dalam gerakan dakwah yang mana kerja mereka hanyalah infaq duit, tetapi diri dan tenaga diserahkan kepada orang lain dengan alasan dirinya sibuk mencari harta untuk harakah. Hakikatnya harta tersebut banyaknya untuk diri sendiri berbanding harakah.

Sedangkan jika meneliti sirah perjuangan Abdurrahman bin Auf infaq diri dan harta keduanya sekali tiada terpisah.
Allah SWT berfirman :

إن الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأموالهم

Sesungguhnya Allah SWT membeli diri orang beriman diri dan harta mereka.
Dalam ayat tersebut Allah dahulukan diri daripada harta yang menuntut pengorbanan tinggi dalam dalam kedua aspek diri.

Semoga kita diberi peluang menjadi betul-betul seperti Abdurrahman Bin Auf dan para sahabat yang lain dan kita tidak tertipu dengan cara fikir dan kefahaman hanya menyumbang harta dan wang ringgit untuk Islam.

Antara mutiara kata-kata terakhir Abdurrahman bin Auf R.A :

“Musa’b bin Umayr seorang yang lebih baik dariku meniggal dunia dan kami tiada kain kafan yang cukup untuknya, begitu juga Hamzah bin Abdul Muttalib seorang yang lebih baik dariku, meninggal dan tiada kain kafan untuknya. ”

“Aku takut aku tergolong daripada kalangan mereka yang telah didahulukan kemewahan untuk mereka di dunia dan tidak diberikan kemewahan di akhirat nanti. Dan aku takut aku dijauhkan daripada sahabat-sahabat aku bila aku meninggal nanti disebabkan duitku yang banyak.”

Ustaz Muhammad Ikram Abu Hassan
Pengerusi PEMBINA Pulau Pinang