Wanita ISMA SPU anjur Seminar Fiqh Wanita, dedah kesedaran Fiqh Taharah dan langkah penjagaan

BANDAR PERDA, 23 Nov – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU) memberi kesedaran mengenai fiqh taharah khususnya berkenaan darah wanita dan langkah penjagaannya dengan mengadakan Seminar Fiqh Wanita baru-baru ini.

Pengarah program, Norfaiezah A.Rahman berkata, ilmu yang diperoleh membantu peserta untuk melakukan ibadah yang berkualiti supaya diterima Allah kerana keyakinan  terhadap kesucian diri.

“Diharapkan ilmu yang diperoleh peserta sepanjang seminar ini dapat dimanfaatkan untuk diri, keluarga, dan masyarakat dengan cara berkongsi ilmu tersebut kepada kenalan yang tidak hadir”.

“Ilmu itu turut menutup pintu was-was yang dicipta musuh tradisi kita iaitu syaitan”, katanya semasa majlis penutup.

Seminar Fiqh Wanita ini mengupas topik yang sangat sinonim dengan wanita iaitu berkenaan darah. Slot pertama disampaikan oleh Dr Norhasimah Ismail, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Bayan Lepas.  Beliau menerangkan  mengenai pendarahan dari aspek kesihatan dan menekankan kaum wanita untuk menjalani pemeriksaan kesihatan berkala bagi memastikan kesihatan mereka pada tahap optimum.

Sementara itu, slot kedua pula disampaikan oleh Ustazah Salma Ismail yang  membincangkan berkaitan fiqh haidh, nifas dan istihadhah menurut Al-Quran dan hadis.

“Sebagai seorang muslim, kita perlu mempelajari permasalahan seperti haid, nifas dan istihadhah agar diri tidak lalai dan segera menyucikan diri untuk beribadah dengan penuh keyakinan dan ketenangan kepada Allah S.W.T,” kata Ustazah Salma Ismail yang merupakan lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang tafsir Al-Quran dan As-sunnah.

Dalam ucapan perasmian oleh Ketua Wanita ISMA cawangan SPU, Ustazah Norhayati Abdul Wahab turut menyampaikan rasa berbesar hati beliau di atas penyertaan yang memberangsangkan daripada golongan wanita yang  menghadiri  program tersebut.

“Kita perlu membina iman dan taqwa bagi membina generasi  dan individu yang kuat dalam menghadapi ancaman semasa dari musuh-musuh islam yang berusaha menjauhkan diri umat islam dari ajaran islam yang sebenar”, katanya.

Seminar Fiqh Wanita dengan kerjasama Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Baru Perda dan Persatuan Pembina Pulau Pinang  (PEMBINA) itu disertai oleh 150 peserta dari pelbagai peringkat umur mendapat respon positif daripada masyarakat sekitar.

Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita
ISMA Seberang Perai Utara