Pengurusan dan Solat

Semua kita tahu bahawa solat adalah tiang agama. Andainya tumbang tiang ini, maka robohlah agama kita. Islam yang terbina atas kalimah dua syahadah ini tidak akan mekar tanpa solat.

Banyak kalam Allah SWT yang memperkatakan tentang solat. Solat lima waktu yang difardhukan kepada kita semua bukanlah diturunkan oleh Allah SWT melalui perantaraan Jibrail tetapi Rasulullah SAW mendapat wahyu dari Allah sendiri. Ini menguatkan lagi dalil bahawa solat ini amat penting dalam hidup sebagai seorang Muslim.

Berbicara tentang solat, mari kita sama-sama renungkan pengajaran solat dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim. Solat ini memberi seribu pengajaran kepada kita andainya kita duduk sebentar dan merenung keindahannya. Apa yang hendak diutarakan di sini adalah pengajaran solat dalam pengurusan. Tanpa kita sedari, solat ini mempunyai pengajaran dalam konsep-konsep pengurusan.

Konsep Pengurusan 1: Unity of Purpose

Dalam meneraju sesebuah organisasi, unity of purpose atau dalam bahasa ringkasnya mempunyai visi dan misi. Andainya setiap individu dalam organisasi bersatu hati dan bergerak dalam satu arah, nescaya kebarangkalian untuk mencapai sesuatu tujuan itu lebih besar.

Pengajaran dari Solat: Menghadap Kiblat

Allah memerintahkan bahawa kiblat bagi umat Islam adalah Kaabah. Tidak kira samada kita berada di negara mana sekalipun, maka Kaabah menjadi kiblat kita apabila menunaikan solat. Ini sebenarnya menekankan betapa pentingnya semua umat Islam secara fizikalnya untuk menghadapkan muka dan dada kita ke arah Baitullah. Ianya menjadi analogi kepada kita untuk bergerak dalam satu hala, satu tujuan, satu visi dan satu misi dengan bersatu hati pada setiap masa.

Konsep Pengurusan 2: First Thing First

Penulis Steven Covey dalam bukunya 7 Habbits of Highly Effective People menekankan bahawa konsep first thing first amat penting dalam kehidupan manusia untuk pengurusan yang sangat efektif. Melakukan apa yang perlu dilakukan dahulu mengajar kita kepada erti prioritization. Ianya juga membantu kita daripada membuat sesuatu perkara yang sia-sia atau yang membuang masa. Kebijaksanaan dalam menjaga waktu akan meningkatkan keupayaan pengurusan masa kita.

Pengajaran dari Solat: Tertib

Rukun terakhir dalam solat adalah tertib. Tertib membawa makna mendahulukan apa yang dahulu. Solat tidak akan diterima Allah atau solat ini akan terbatal jika kita mulakan dengan sujud sebelum rukuk dan sebagainya. Meletakkan sesuatu pada tempatnya dan pada masanya perlu untuk kesempurnaan. Andai solat kita memberi kesan dalam hidup kita, Insya-Allah kita akan terpanggil untuk mempraktikan budaya tertib ini bukan sahaja dalam solat namun dalam pengurusan masa serta sumber. Pengurusan sumber yang sempurna akan menghapuskan pembaziran.

Konsep Pengurusan 3: Leadership

Leadership atau kepimpinan adalah suatu konsep yang tidak boleh dipisahkan dari teori-teori pengurusan. Banyak teori-teori kepimpinan yang ditulis dan dipraktik oleh guru-guru pengurusan di barat. Lazimnya ianya tidak boleh lari daripada memilih seorang pemimpin yang baik untuk mengurus sesebuah organisasi. Seorang pemimpin yang baik selalunya bakal membawa kepada kejayaan kepada organisani tersebut. Dalam buku Good to Great karya Jim Collins bercerita tentang pemimpin pada tahap lima (level five leaders) iaitu seorang pemimpin yang tidak perlu diagungkan (mendapat kredit) atas apa yang dipimpinnya serta beribu lagi teori kepimpinan dan semuanya berkisar tentang pemilihan pemimpin yang baik.

Pengajaran dari Solat: Imam

Imam dalam solat juga seorang pemimpin. Dia memimpin solat jemaah dan bertanggungjawab untuk menunaikan tugasan sebagai seorang pemimpin untuk melunaskan rukun-rukun solat. Pemilihan imam bukanlah melalui undian tetapi melalui siapa yang terbaik dalam kalangan jemaah yang ada atau di dalam kariah untuk memimpin solat. Seseorang imam perlulah seseorang yang waras akalnya, tahu hukum-hukum solat, baik bacaan al-qurannya, baik akhlaknya dan boleh menjadi contoh. Imam akan mendahului rukun solat dan makmum tidak boleh mendahului imam. Kedudukan imam di baris hadapan sekali memberi gambaran fizikal tentang autoriti yang ada padanya. Konsep walk the talk amat bertepatan dengan apa yang Islam letakkan pada imam. Imam bukanlah seorang yang akan “memerintah” atau “memberi arahan” tanpa melakukannya. Imam melakukan rukun dahulu sebelum makmum melakukannya. Tidak seperti dalam konsep pengurusan barat yang mana rata-rata pemimpin hanya memberi hala tuju dan arahan. Islam juga memberi ruang pada makmum untuk memisahkan diri dari imam andainya imam yang diikutinya tidak mematuhi rukun solat. Makmum boleh mufarakah. Ini memberi makna bahawa makmum tidak mengikut secara membuta tuli.

Konsep Pengurusan 4: Followership

Tidak banyak penulisan membicarakan tentang followership dalam konsep pengurusan. Kalau ada pun, tidak banyak yang diperkatakan berbanding dengan leadership. Konsep followership adalah membawa maksud peranan seorang pengikut atau pekerja dalam organisasi dalam mencapai matlamat sesebuah syarikat.

Pengajaran dari Solat: Makmum

Tiada imam tanpa makmum. Makmum mempunyai peranan untuk tidak mendahului imam dan kedudukan makmum juga di belakang imam sebagai simbolik sebagai seorang pengikut. Aturan makmum juga memberi ruang yang depan kepada yang sudah baligh dan tempat yang belakang kepada yang belum baligh. Cantiknya solat ini apabila peranan makmum itu harus mengikut imam walaupun imam telah memulakan solat dengan konsep masbuk. Makmum juga boleh berkomunikasi dengan imam andainya imam melakukan kesilapan atau lupa pada rukun solat. Ini menunjukkan bahawa seorang pemimpin itu tidak semestinya tidak akan melakukan kesalahan. Imam harus melakukan dengan betul selepas mendapat teguran. Andainya Imam terus melakukan kesilapan, makmum boleh membuat keputusan untuk mufarakah. Pemimpin dalam Islam harus bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya.

Konsep Pengurusan 5: Succession Planning

Succession planning atau persediaan mengganti pemimpin juga amat penting dalam pengurusan demi memastikan sesebuah organisasi itu terus beroperasi. Sesebuah organisasi yang baik perlu ada succession planning agar tidak mempunyai barisan pemimpin pada setiap lapisan. Pembangunan modal insan amat kritikal dalam sesebuah organisasi agar kelangsungan visi and misinya tercapai. Organisasi yang baik pastinya berkebolehan untuk mengurus serta membangunkan modal insan.

Pengajaran dari Solat: Lapisan Pemimpin

1400 tahun dahulu Islam telah memberi konsep succession planning ini dalam solat yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Seorang imam yang sedang mengerjakan solat harus mempunyai makmum yang sedia mengambil tempatnya sebagai Imam andainya Imam ini perlu memberhentikan solat atas sebab-sebab tertentu. Makmum yang berada di belakangnya harus bergerak ke hadapan dan menerajui solat. Solat tidak perlu diberhentikan kerana seorang imam batal solatnya. Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa sesebuah organisasi yang baik akan tidak terhenti operasinya kerana kehilangan pemimpin.

Andainya kita merenung dan berfikir, banyak lagi konsep-konsep pengurusan yang boleh dicungkil daripada solat dan ibadah-ibadah khusus yang lain. Inilah indahnya Islam. Dalam entri ini, hanya lima konsep pengurusan diutarakan sebagai pemangkin untuk kita semua berfikir. Dengan adanya Al-Quran, Hadith dan Sunnah Rasullullah SAW, umat Islam amat bertuah kerana mempunyai ilmu-ilmu ini sejak lebih dari 1400 tahun dahulu. Tetapi realiti hari ini, kita terpaksa membaca buku-buku yang dihasilkan oleh orang-orang barat untuk mempelajari konsep-konsep ini walaupun ianya ada bersama-sama kita. Apabila dinyatakan Islam itu cara hidup, inilah salah satunya apabila kita bergantung pada Islam dalam menguruskan kehidupan kita, Insya-Allah.

Haji Kamaldin bin Nordin
AJK Biro Keluarga dan Masyarakat
ISMA Seberang Perai Utara