KRIM Pulau Pinang sahut sedarkan remaja

SEBERANG PERAI UTARA, Jumaat – Program Zero to Hero anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Pulau Pinang ternyata membuktikan usaha ahli jawatankuasa bertindak segera dalam membantu menyedarkan golongan remaja yang mudah terpengaruh dengan budaya yang menyimpang dari ajaran agama Islam. 

Program yang merangkumi empat slot tersebut dimulakan dengan slot Dr Muslim Roslan berkenaan tajuk  From Zero to Hero. Dalam slot tersebut, peserta didedahkan tentang tujuan penciptaan manusia iaitu sebagai makhluk Allah yang mampu menjadi orang yang hebat seperti Sultan Muhammad Al- Fateh.

Slot Born to Lead yang disampaikan oleh Zulazmi Saidin telah menumpukan kepada tugas sebagai seorang khalifah untuk mengajak masyarakat kembali kepada ajaran Islam dan banyak perkara yang boleh disumbangkan oleh remaja kerana mempunyai tubuh yang sihat, bertenaga dan akal fikiran yang cerdik.

Seterusnya, Slot Serlahkan Potensi oleh Muhamad Farid Umor Parok dapat membantu peserta mengurus masa dalam mencapai hidup yang berkualiti. Slot ini mampu memberi kesan terhadap pengurusan serta  pengendalian masa dalam membahagikan tugasan yang penting dan segera.

Akhir sekali, Slot Remaja dan Cabaran Semasa yang dipimpin oleh Mohd Lutfi Itam, Ketua Biro KRIM Pulau Pinang memfokuskan tentang masalah sosial yang di hadapi oleh remaja kini dan kaedah menangani permasalahan tersebut. 

Oleh Zulfadli Jamil
Wartawan KRIM Pulau Pinang

 

krimkrim2