Dyslexia dan Kesedaran

      Setiap pasangan suami isteri pasti berharap dikurniakan cahaya mata yang sihat dan normal. Apabila anak mula membesar, mereka diasuh dan dididik dengan sebaiknya. Kemudian, anak dimasukkan pula ke tadika untuk belajar mengenal huruf, mengira nombor dan membaca buku. Beberapa bulan di tadika, cikgu mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada si anak. Antara luahan guru kepada ibu bapa, “Dia selalu memandang tempat lain jika saya mula mengajar. Kadang-kala, dia duduk bawah meja main seorang diri.“ “Keputusan ujian bulanan pun paling rendah antara kawan-kawan yang lain.“ Ibu bapa mula buntu dengan masalah yang dihadapi oleh si anak. Kanak-kanak yang sebaya dengannya sudah boleh mengenal ‘abc’ dan boleh mengira nombor dengan baik tetapi si anak masih lagi dengan dunianya sendiri. Masih tidak boleh mengenal huruf, apa lagi mengira nombor.

        Dyslexia dikategorikan sebagai salah satu daripada masalah pembelajaran yang mana seseorang itu mempunyai kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar, dan bercakap.

        Suatu yang penting juga untuk kita tahu bahawa dyslexia bukan sejenis penyakit atau berkaitan dengan masalah penglihatan dan tahap kecerdasan yang lemah. Ia disebabkan oleh perbezaan struktur dan fungsi otak. Dyslexia juga boleh diwarisi daripada ahli keluarga. Walaupun dyslexia merupakan masalah yang dihadapi sepanjang hayat, ia boleh diatasi terutamanya di kalangan kanak-kanak dengan dorongan, sokongan, dan bantuan pembelajaran yang sesuai.

          “Dyslexia is a reading difficulty in a child or adult who otherwise has good intelligence, strong motivation and adequate schooling… Dyslexia reflects a problem within the language system in the brain” (Shaywitz, 2003).

Screenshot_1

Terdapat beberapa ciri yang boleh dikenal pasti bagi seseorang yang mengalami dyslexia:

  • Sukar mengancing kot, mengikat tali kasut dan tali leher.
  • Kasut sering dipakai pada kaki yang salah, tidak sedar mereka tidak selesa
  • Kekok atau tingkah laku cenderung kemalangan
  • Sukar melompat atau bermain ‘skipping’
  • Sukar membaling, menangkap, atau menyepak bola
  • Sukar memahami konsep arah (contohnya: dalam/luar, naik/turun, bawah/atas, depan/belakang)
  • Sukar dalam melaksanakan lebih daripada satu arahan pada satu masa
  • Kemungkinan sejarah perkembangan pertuturan
  • Sasul kata yang berlebihan (contoh: ‘par car’ untuk ‘carpark’, ‘bag and acorn’ untuk ‘egg and bacon’)
  • Sukar menyebut perkataan yang pelbagai sukukata (contoh: ‘hopsital’ untuk ‘hospital’)
  • Sukar menamakan objek
  • Keliru antara kanan dan kiri
  • Lemah untuk mengenal pasti keutamaan tangan
  • Tulisan cakar ayam dengan banyak pembalikan huruf dan bentuk huruf yang salah
  • Tidak dapat menyalin dengan tepat, terutamanya daripada papan hitam
  • Keletihan berlebihan disebabkan jumlah tumpuan dan usaha yang banyak diperlukan untuk keputusan yang sangat kecil
  • Sukar mengingat hari, tarikh lahir, dan nombor telefon
  • Sukar belajar memberitahu masa
  • Tidak pasti antara ‘semalam’ dan ‘esok’
  • Sukar mengingati perkara yang berturutan (contohnya: hari dalam seminggu, bulan, tahun dan operasi pendarapan)
  • Kemajuan bacaan yang lemah semasa melihat, menyebut kaedah fonik

Langkah awal perlu diambil oleh ibu bapa dan guru sekiranya terdapat ciri- ciri berikut pada anak-anak atau pelajar. Rujuk pada pakar perubatan atau pihak yang berkaitan. Setiap kanak-kanak mempunyai kelebihan tersendiri dan menjadi tanggungjawab kita untuk menghargai kelebihan mereka.

Rujukan : http://dyslexiamalaysia.org.my/

Latifah binti Hashim
Setiausaha Biro Keluarga & Masyarakat ISMA SPU
Graduan Universiti Malaysia Terengganu,
Koordinator Persatuan Dyslexia Malaysia Cawangan Pulau Pinang