Tips dan peranan ibu bapa di bulan Ramadhan

Dr. AlinAlhamdullilah, tetamu yang dinanti -nanti, Ramadhan, muncul kembali. Bulan yang penuh barakah, rahmat, kemuliaan dan keutamaan. Rugilah jika kita menganggap bulan Ramadhan seperti bulan-bulan lain, hanya penat ,lapar dan dahaga sahaja. Sedangkan bulan Ramadhan adalah bulan di mana segenap amalan kita dilipat gandakan pahalanya di sisi Allah. Nak cepat dapat pahala, jom kita beramal, memanfaatkan bulan Ramadhan sebaik-baiknya.

Sebagai ibu bapa, kita mestilah mempunyai perancangan utk menyambut Ramadhan sebagaimana kita bersunguh-sungguh membuat persiapan untuk berhari raya.

Antara perancangan dan tips tips yang boleh dibuat:

  1. Sentiasa mengingatkan diri sendiri dan ahli keluarga akan kedatangan bulan Ramadhan.
  2. Mengajak ahli keluarga berpuasa sunat di bulan Syaaban.
  3. Membuat poster Ramadhan bersama keluarga. Sebaiknya melekatkan poster atau dekorasi Ramadhan di suatu sudut rumah.
  4. Bergoton- royong membersihkan rumah untuk menyambut Ramadhan.
  5. Membuat atau mendapatkan borang muhasabah amal ibadah harian untuk sebulan Ramadhan. Lekatkan pada peti ais atau papan kenyataan supaya anak-anak dan kita sendiri berlumba-lumba memenuhi borang muhasabah tersebut. Boleh beri hadiah mingguan atau cukup sebulan kepada anak-anak yang paling banya beramal sebagai penghargaan.
  6. Memberi semangat pada anak-anak dengan menceritakan kisah-kisah yang berkaitan dengan bulan Ramdhan, kelebihan orang berpuasa, fadhilat bulan Ramadhan dan sebagainya.
  7. Ibu boleh membuat jadual menu harian untuk sepanjang Ramadhan supaya ada idea untuk memasak dan tidak membung masa. Simpan masa yang ada untuk beribadat. Menu yang disediakan biarlah sederhana, berkhasiat, seimbang, dan tidak membazir.
  8. Kurangkan makanan berlemak dan bergula untuk kesihatan dan mengelakkan rasa letih selepas berbuka. Mengajar anak-anak untuk makan sedikit, tidak gopoh, dan tidak kerap diselangi dengan air agar tidak merasa letih.
  9. Amalkan makanan Sunnah ketika berbuka dan bersahur (contohnya tamar, kismis, dan madu kerana ianya memberi tenaga).
  10. Mengajak ahli keluarga bersolat Jamaah dan bertarawih di masjid. Ibu yang mempunyai anak kecil boleh bergilir-gilir dengan jiran atau rakan untuk ke masjid dan menjaga anak.
  11. Berikan anak-anak sedikit wang untuk disedeqahkan di masjid atau kepada orang yang tidak berkemampuan pada bulan Ramadhan ini.
  12. .Mengajak anak-anak untuk mengedarkan kurma sebagai hadiah pada jiran atau rakan taulan.
  13. Sedekahkan makanan kepada jiran terdekat jika berkemampuan.
  14. Mengajak keluarga besar atau sahabat handai berbuka di rumah kita.
  15. Digalakkan ibu untuk memasak di rumah. Air tangan ibu adalah yang terbaik.
  16. Tidak membazir di bazar Ramadhan.
  17. Menagajak anak-anak duduk bersama sebelum berbuka untuk tadarus Al Quran bersama atau boleh bergilir-gilir memberi tazkirah setiap hari. Ajar anak-anak untuk beri pengisian walaupun tajuk yang ringkas.
  18. Sentiasa memasang alunan ayat suci al–Quran dan zikir di rumah atau di dalam kereta.
  19. Menghidupkan malam dengan bacaan Al Quran, solat dan zikrullah. Ajak anak-anak untuk bangun solat sunat walaupun 2 rakaat.
  20. Jangan lupa kunci jam untuk bangun qiamulail dan bersahur, buat “chain call” utk mengejutkan rakan taulan.
  21. Bawalah al-Quran di dalam beg ke mana saja kita pergi. Contohnya ke tempat kerja supaya masa-masa yang terluang seperti masa rehat dapat dimanfaatkan untuk tilawah dan tadabbur al-Quran. Ajar anak-anak bawa dan baca al-Quran di dalam kereta sehingga sampai ke destinasi.
  22. Ajaklah anak-anak seawal usia untuk mula berpuasa. Berikan dorongan dengan kata-kata semangat dan pujukan, sentuhan fizikal seperti peluk serta ciuman kerana semuanya itu amat bermakna buat mereka. Jika berkemampuan, boleh berikan duit atau hadiah sebagai penghargaan. Ajar anak-anak untuk ikhlaskan diri, berbuat kerana Allah. Hadiah adalah bonus.

Jom kita buat yang terbaik demi meraih cinta dan rahmat Allah. Buat sedikit tetapi balasan berganda-ganda. Tunggu apa lagi. Salam Ramadhan Al-Mubarak.

Dr. Ramzalinda binti Abd Rahman

Ketua Biro Keluarga & Masyarakat ISMA SPU