75 peserta bersaing dalam Xpresi Circle Vol. 3

Explorace Vol. 3.0
Explorace Vol. 3.0

Georgetown, 5 April –Seramai 75 peserta menyertai Explorace Xpresi Circle Vol. 3  yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pulau Pinang dan Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Pulau Pinang di sekitar Georgetown dekat sini hari ini.

Para peserta diberi penerangan oleh Ustaz Syahir Ab Kadir, Pengarah Explorace Xpresi Circle Vol. 3 sebelum memulakan pertandingan explorace di Padang Kota Lama.

Aktiviti ini adalah lanjutan dari Xpresi Circle Vol. 1 dan 2 yang telah memberi peluang kepada peserta melakukan aktiviti Explorace di kawasan Dewan Sri Pinang, Fort Cornwallis, Masjid Kapitan Keling, Street Art House, dan kedai buku sekitar Kapitan Keling.

Ustaz Syahir memberitahu program yang pertama kali diadakan bermula kira-kira pukul 8.30 pagi  mendapat sambutan menggalakkan pelajar.

”Explorace ini berkonsepkan permainan yang mana para peserta akan menempuh pelbagai halangan selain mereka diuji daripada segi mental dan fizikal bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

”Apa yang dapat kita lihat sambutan program ini biarpun kali pertama kita anjurkan di sini cukup menggalakkan dan memberi sedikit kelainan kerana peserta perlu solat sunat dhuha pada tempat checkpoint,” katanya.

Tinjaun yang dibuat mendapati para peserta sangat berpuas hati dengan penganjuran program Explorace Xpresi Circle Vol. 3 kali ini.

“Program yang sangat menarik yang dapat memupuk semangat kerjasama antara ahli pasukan,  melantik seorang ketua dan penting untuk patuhi arahan ketua,” kata Ahmad Firdaus Bin Alwi.

“Program yang sangat luar biasa dan saya berharap program seperti ini dapat dijalankan pada masa akan datang,” kata Ainul Humaira yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad.

Dalam pada itu. juara kategori lelaki bagi pertandingan berkenaan dimenangi kumpulan Spartan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM150 dan sijil, naib juara dimenangi oleh Mashoorian dan kumpulan Tebu hanya sekadar berpuas hati mendapat tempat ketiga.

Manakala, juara kategori perempuan dimenangi oleh Kumpulan Olive, kumpulan Sempoi berjaya menduduki tempat kedua dan kumpulan Bulatan Cinta menduduki tempat ketiga dengan dengan membawa pulang hadiah istimewa serta sijil.