TARBIYAH ISMA: Saya Pemimpin Ummah

drZakiPemimpin generasi hari ini adalah memimpin generasi serba terbuka. Fenomena dunia tanpa sempadan ini membuatkan pemimpin di perhati dan diperhalusi setiap gerak dan tuturnya. Ini adalah cabaran besar kepada pemimpin gerakan islam kerana dakwah menuntut dirinya menjadi qudwah kepada masyarakat. Dari sudut positifnya, Ini juga adalah peluang yang terbentang luas untuk memimpin manusia jika amal dakwah ini di gerakkan dengan keikhlasan.

Seseorang da’i tidak akan dapat mempengaruhi orang lain selagimana dia sendiri tidak terpengaruh dan tersebati dengan dakwahnya. Sebaliknya, jika dia berjaya mencernakan hakikat dakwahnya dan menterjemahkan pengertian keimanannya, dia akan memperolehi kekuatan automatik untuk menarik sasarannya agar berjalan seiring dan melakukan pentarbiahan yang baik untuknya ( Ahmad Ar rasyid, Al Masar)

Para pengikut akan membina pemikiran dan keperibadian mereka, serta menentukan bentuk perjalanan hidup mereka dengan menjadikan para duat sebagai model. Mereka akan dapat memahami dakwah yang di seru dengan cepat apabila para duat sendiri telah memahaminya sebelum mereka dan merealisasikan dalam kehidupan.

Inilah yang dapat di lihat dalam saf kepimpinan ISMA. Pimpinan yang bersedia menongkah arus untuk menegakkan kebenaran. Pemimpin yang meletakkan asas kepada landasan perjuangan untuk memartabatkan Islam di bumi Malaysia dengan jelas. Perletakkan batu asas ini sangat penting untuk di teruskan oleh generasi pemimpin esok hari. Kesinambungan rantaian perjuangan yang berlandaskan peta yang sama.

Generasi muda hari ini adalah sandaran kepada kegemilangan hari esok. Lahirnya seorang pemimpin adalah melalui satu proses pendidikan kepimpinan. Jiwanya adalah jiwa pemimpin, tuturnya adalah bicara seorang pemimpin, misi dan visinya juga menggambarkan wawasan kepimpinan dan gerak langkahnya adalah karismatik kepimpinan. Tidak mungkin semua ini berlaku secara tidak terancang, ini berlawanan dengan fitrah kehidupan.

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

(Ar-Ra’ad : 11)

Menjadi kewajipan tarbiah Islamiyyah harakiyyah untuk menyalakan obor semangat di dalam hati bagi membantu meningkatkan semangat dan keazaman yang kental. Inilah langkah pertama untuk melahir pemimpin. Inilah pentarbiyyahan ISMA.

Inilah slogan produk pentarbiyyahan ISMA : Saya pemimpin Ummah !

Prof Madya Dr Zaki Ibrahim

ISMA Seberang Perai Utara

Pengerusi i-Medic Pulau Pinang