PERUTUSAN RAMADHAN 2014

perutusan_ramadhanSegala puji bagi Allah pencipta dan pengatur seluruh alam semesta, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, keluarga, para isteri, para sahabat baginda, dan orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka sepanjang zaman.

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi

Para salihin menanti penuh kerinduan akan kedatangan Ramadhan al-Mubarak.Tidak putus-putus mereka berdoa agar Allah memberi peluang kepada mereka menikmati keindahan dan keberkatan Ramadhan.Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka.

Saudaraku yang dihormati,

Ramadhan adalah bulan al-Quran dan bulan Ibadah.Namun perlu diingat bahawa ibadah-ibadah khusus yang disyariatkan dalam bulan ini dan dipermudahkan untuk melaksanakannya seperti puasa di siang hari dan qiam di malamnya, tilawah al-Quran dan zikrullah, zakat , sedekah dan seribu satu amalan kebaikan yang lain, semua itu adalah untuk memberikan kekuatan dalaman kepada kita untuk terus melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi ini iaitu tugas menjaga dan menyebarluaskan agama Allah (agama Islam) dan mentadbir dunia berpandukan agama yang suci ini.

Semakin kuat dan hebat kita beribadah kepada Allah dengan ibadah-ibadah khusus tadi, sepatutnya semakin kuat dan hebat kita menolong agama Allah ini dengan mengorbankan apa sahaja yang kita miliki demi redha Ilahi.Ini sahajalah jalan pintas untuk kita dekat dengan junjungan besar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam syurga nanti.

Selamat Menyambut Kedatangan Ramadhan al-Mubarak 1435H.Semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik untuk kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *