NAZIM Pulau Pinang dedah rawatan cemas kepada anak-anak NAZIM

NAZIM

Bertam, 16 Feb. – Menyedari bahawa pendedahan awal mengenai ilmu dan kemahiran dalam pertolongan cemas perlu diterapkan dalam diri anak-anak, NAZIM Pulau Pinang telah menganjurkan slot rawatan cemas yang diadakan di Taman Permainan Surau At-taqwa.

Pengarah program Smart Circle yang bertemakan ‘Sihat dan Hebat’, Puan Nurul Akmar binti Jaafar Husni merasakan pendedahan di peringkat usia kanak-kanak tentang teknik dan ilmu yang diberikan amat sesuai kerana mudah diterima oleh mereka.

Beliau berkata, pengetahuan dan kemahiran yang didedahkan walaupun sekadar teknik asas boleh membantu apabila keadaan terdesak dan memerlukan.

Langkah awal rawatan amat penting pada sesuatu kes kecemasan terutama dalam menyelamatkan nyawa seseorang kerana pada dasarnya setiap detik itu amat bernilai sekali.

“Cara ikatan kain anduh yang salah akan memburukkan lagi keadaan mangsa. Oleh itu, ilmu pengetahuan atau kemahiran asas sangat perlu dalam diri setiap anak-anak apabila  memberi bantuan kecemasan,” katanya.

Penerangan tentang langkah-langkah pertolongan kecemasan ini akan mampu memberi sedikit gambaran dan penjelasan tentang perkara yang patut dilakukan apabila berhadapan dengan situasi yang sebenar.

“Selain rawatan cemas, peserta juga melakukan aktiviti hafalan hadis tentang kepentingan solat dan menghormati ibu bapa, membuat sandwich dan solat secara berjemaah,” katanya lagi.

Beliau menambahkan bahawa penglibatan peserta kali ini merangkumi keperluan anak-anak bukan sahaja memperkukuh aspek kerohanian malah jasmani dan intelektual ke arah membina generasi pelapis dakwah.

 

Azidatul Anis binti Aziz

Wartawan Media ISMA Seberang Perai Utara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *