Belia Patut Contohi Kisah Pemuda Al-Kahfi Dalam Pertahan Aqidah

rozaini

PERMATANG PAUH, 20 Feb – “Di dalam Al-Quran terdapat kisah pemuda Al-Kahfi yang patut dicontohi oleh belia kini kerana pemuda-pemuda itu mempunyai keperibadian yang unggul dalam mempertahankan aqidah dan tidak mahu bersekongkol dengan pemerintah ketika itu kerana mempunyai iman yang kental”, begitulah antara  kata-kata Penasihat  PEMBINA UiTM Pulau Pinang, Saudara Rozaini Othman yang juga aktivis ISMA Seberang Prai Utara  dalam ucapan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan PEMBINA Pulau Pinang yang diadakan di UiTM Pulau Pinang semalam.

Menurut beliau juga, belia sekarang berhadapan dengan pelbagai cabaran aqidah dan pemikiran dari bermacam sudut dan perlu membina jati diri yang unggul seperti yang digariskan oleh Hassan Al-Banna dalam 10 Ciri-Ciri Peribadi Muslim.

Tidak ketinggalan juga, beliau menambah bahawa belia kini mestilah sentiasa memperkasa diri untuk menjadi Muslim yang sebenar supaya dapat menangkis ancaman-ancaman aqidah yang kian menular. Belia juga menegaskan bahawa belia dan beliawanis  mesti

menceburkan diri dalam program-program yang dapat meningkatkan jati diri sebagai belia Muslim,  sebagai contoh dengan menyertai PEMBINA.

Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan ini turut dihadiri oleh para mahasiswa mahasiswi IPT di sekitar Pulau Pinang,antaranya Universiti Sains Malaysia, Politeknik Seberang Perai dan Allianze University College of Medical Science (AUCMS) Bertam, Pulau Pinang.

“Sebelum ini saya tak tahu apa itu PEMBINA, tetapi selepas penerangan demi penerangan yang diberikan pada hari ini, saya merasakan sebagai belia banyak yang boleh dibuat dan disumbangkan untuk masyarakat menerusi PEMBINA”, jelas Norshazlinda Binti Muhammad Sophee Choong, 22 dari Politeknik Seberang Perai.

Di akhir ucapan, Saudara Rozaini Othman berharap supaya PEMBINA Pulau Pinang akan sentiasa bersemangat dan tetap terus dalam membina generasi belia supaya menjadi belia Islam yang sejati.

 

Disediakan oleh,

Nur Syuhada Mohd Ataa

JK Media PEMBINA Pulau Pinang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *