Sikap amanah bantu tingkat produktiviti kerja dakwah

JAN_27-2014_Ustaz-HamidiSEBERANG PERAI, 27 Jan – Setiap pekerja dakwah perlu bersikap amanah dan melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin supaya dapat meningkatkan hasil produktiviti kerja dakwah.

Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara, Ustaz Hamidi Abu Hassan berkata, tanggungjawab yang diberikan kepada seseorang perlu disempurnakan dengan penuh ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang tinggi.

Di tempat kerja, majikan akan memantau kerja kita. Akan tetapi dalam kerja dakwah, majikan kita ialah Allah dan kita perlu memantau hasil kerja kita sendiri,” tegasnya.

Beliau menambah, tugas sebagai pemimpin adalah peluang untuk mendapatkan sebanyak mungkin bekalan dan pahala.

Ustaz Hamidi turut mengingatkan bahawa kesungguhan yang ditunjukkan oleh seseorang sama ada diberikan gaji atau tidak, pasti dijanjikan ganjaran yang setimpalnya.

Kita perlu bekerja dengan bersungguh-sungguh setimpal dengan gaji, dan apabila bekerja untuk dakwah, tanggungjawab tersebut perlu digalas sebaik mungkin supaya dibayar gaji oleh Allah serta diredai oleh oleh orang-orang beriman,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan pendahuluan pada Taklimat Pemantapan Ahli yang diadakan baru-baru ini di pejabat ISMA SPU.

Majoriti ahli ISMA bekerja sebagai kakitangan awam dan swasta dan ada yang bekerja sendiri. Namun, tugasan dakwah tetap dipikul oleh mereka untuk menjayakan setiap objektif yang telah dirangka.

Azidatul Anis Aziz
Wartawan ISMA Seberang Perai Utara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *