KEPUTUSAN MIZZ NINA WAJAR DIPUJI

mizz_ninaKepala Batas, 27 Jan– “Keputusan Shazrina Azman ini merupakan satu langkah permulaan yang amat baik, sangat wajar dipuji dan saya secara peribadi menyokong sepenuhnya, keputusan beliau itu.” Begitu ulasan Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pulau Pinang, Saudari Siti Nur Nabilah Bte Nasri bertindak balas kepada berita yang digembar-gemburkan kebelakangan ini berkenaan Shazrina Azman atau lebih dikenali dengan nama komersial Mizz Nina mengeluarkan kenyataan bahawa beliau hanya akan menyanyi di hadapan peminat wanita sahaja.

“Saya akan menyanyi di hadapan penonton wanita saja. Keputusan itu saya buat selepas berhijrah. Suami menyokong keputusan saya. Saya tidak menyesal meninggalkan bidang muzik kerana sudah puas mengecapinya. Kini, saya ingin memberikan perhatian kepada butik dan juga syarikat produksi yang ditubuhkan sejak setahun lalu,” Ini merupakan serba sedikit kenyataan yang dikeluarkan oleh Mizz Nina baru-baru ini.

Apabila ditanya apakah signifikannya impak perkembangan ini kepada keseluruhan atmosfera remaja atau belia di Malaysia, terutama wanita, beliau berkata, “Sesungguhnya ini perkara kebaikan, dan kebaikan akan bertebaran. Ia sedikit sebanyak akan menjadi contoh kepada individu lain bahawa kuasa seorang Muslimah untuk menentukan cara pembawaan dirinya di hadapan masyarakat ditentukan oleh diri mereka sendiri, bukan orang lain.”

“Saya sangat berbangga dengan beliau yang mengambil keputusan tegas dan tidak berlengah akan sesuatu perkara yang beliau rasakan betul pada neraca beliau dan insyaAllah betul juga pada neraca syariat.” Tambah Saudari Nabilah apabila ditanya adakah ia terlalu lambat bagi sesuatu tindakan seperti ini diperkenalkan ke dalam masyarakat, “Tidak ada perkataan ‘lewat’ sebelum mati. Kita harus bersikap positif, terhadap diri sendiri, orang lain dan masyarakat. Ketepikan persepsi, dan berikan sokongan kepada perkara-perkara yang berunsurkan kebaikan seperti ini.”

Meneliti impak yang dibawa oleh isu ini ke atas masyarakat terutama golongan remaja perempuan dan wanita, Ketua Beliawanis PEMBINA Pulau Pinang ini positif bahawa ini merupakan permulaan yang cantik untuk perubahan sedikit demi sedikit ke arah masyarakat yang sempurna nilai Islamnya. “Setiap Muslim khususnya bertanggungjawab untuk mengerahkan usaha dan kemampuannya untuk menegakkan syariat Islam dalam kehidupan dan masyarakat, bermulalah daripada sekarang sekalipun dengan perkara-perkara yang asas, ia mungkin kecil tapi signifikan.”

Menutup sesi perbualan berkenaan hal ini, beliau menegaskan bahawa, diri kita sendirilah yang menentukan konsep apa kehidupan yang ingin kita tuju. Yang membezakan natijah akhir penentuan konsep itu adalah sejauh mana ia akan menguntungkan kita, dunia dan akhirat.

“Suka untuk saya menekankan bahawa, sekiranya kita mahukan suatu perubahan, maka jadilah perubahan itu! Mizz Nina telah melakukan perubahan, dan beliau wajar dipuji, sekali lagi. Mungkin selepas ini PEMBINA boleh menambah seorang lagi ikon belia yang boleh diketengahkan sebagai satu contoh ikon berbakat lagi bersyariat, insyaAllah,” Begitu Saudari Nabilah menoktahkan perbincangan berkenaan hal ini sambil tersenyum.

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang mempunyai cawangan hampir di seluruh negeri merupakan satu badan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang sangat komited untuk membangunkan arus belia Islam khususnya mahasiswa dengan program-program yang dirangka khas untuk memenuhi keperluan belia kini. Pelbagai pakej telahpun disusun dan PEMBINA sangat positif terhadap keperluan adanya pengisian yang lebih bermanfaat untuk disajikan kepada belia Islam di Malaysia.

PEMBINA Pulau Pinang juga mengucapkan tahniah kepada Mizz Nina di atas keputusan yang sangat tepat ini dan kami mendoakan semoga beliau kekal dalam arus kebaikan dan terus maju di masa hadapan.

Sumber: PEMBINA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *