COMANGO Pengkhianat Negara

JAN_11-2014

Permatang Pauh, 11 Jan. – “COMANGO bukan satu pertubuhan berdaftar, tetapi hanya gabungan longgar sekitar 54 buah NGO berlatarbelakangkan fahaman liberal yang menuntut kebebasan mengikut acuan kebebasan mutlak.”

Begitulah antara baris isi penyampaian Ustaz Zamri b. Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak yang juga YDP ISMA Ipoh, semalam ketika Jelajah Arus Siswa (JELAS) dengan tajuk ‘Comango Pengkhianat Negara’.

Program yang berlangsung di Pusat Islam UiTM Pulau Pinang ini bertujuan untuk membongkar tentang ancaman COMANGO terhadap agama Islam, negara dan bangsa ini.

Program mendapat sambutan yang sangat luar biasa daripada mahasiswa/i UiTM Pulau Pinang dengan jumlah kehadiran yang mencecah lebih 1000 orang peserta.

Ketika berlangsungnya program, berlaku serentak edaran untuk mahasiswa/i menandatangani petisyen ‘Bantah tuntutan COMANGO’ dengan tujuan untuk mencapai sasaran 1 juta umat Islam bersetuju menentang tuntutan COMANGO yang membahayakan aqidah umat Islam khususnya di Malaysia ini.

Sebanyak 1715 tandatangan telah diperolehi dalam program semalam, menunjukkan mahasiswa/i tidak mahu terkecuali dalam menyatakan sokongan mereka terhadap Islam setelah penerangan demi penerangan dijelaskan berkenaan isu COMANGO pengkhianat negara.

JAN_11-2014_2

Di akhir sesi ceramah, Ustaz Zamri telah memberikan solusi untuk mendepani ancaman-ancaman sebegini dengan memperbaiki diri, keluarga, kemudian negara dan perubahan sehingga ustaziyatul alam.

Beliau juga menggesa mahasiswa/i menyertai NGO atau pertubuhan yang mempunyai agenda jelas untuk memartabatkan Islam seperti PEMBINA sendiri kerana matlamat utama penubuhan PEMBINA adalah untuk menggembleng tenaga golongan belia Islam Malaysia secara positif demi kemakmuran negara, melalui usaha berterusan dalam membangun sahsiah dan jati diri belia, serta gerak kerja kemasyarakatan yang mesra, bersepadu dan tersusun.

Disediakan oleh,
Nur Syuhada Mohd Ataa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *